Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih 100 buah negara akan memulakan rundingan pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membabitkan pengharaman senjata nuklear global hari ini walaupun menerima tentangan beberapa negara kuasa nuklear dunia.
Pada bulan Oktober lalu, sejumlah 123 buah negara anggota PBB mengumumkan untuk menganjurkan persidangan itu bagi merundingkan perjanjian pengharaman nuklear walaupun kebanyakan negara kuasa nuklear mengundi untuk menentangnya.
Britain, Perancis, Israel, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) menolak rundingan tersebut manakala China, India dan Pakistan memilih untuk berkecuali.
Jepun yang merupakan satu-satunya negara mangsa serangan bom nuklear pada tahun 1945 dilaporkan turut mengundi menolak rundingan itu atas alasan kurangnya kesepakatan berhubung rundingan tersebut mungkin akan menjejaskan usaha menghapuskan nuklear secara berkesan.
Negara utama yang menerajui usaha itu termasuk Austria, Ireland, Mexico, Brazil, Afrika Selatan dan Sweden, manakala ratusan badan bukan kerajaan (NGO) turut menyatakan sokongan mereka.
Mereka berkata, ancaman bencana nuklear kian meningkat susulan ketegangan yang dicetuskan program senjata nuklear Korea Utara serta tindakan di luar jangkaan dalam pentadbiran baharu Washington.
“Saya menjangkakan proses rundingan akan mengambil masa yang panjang tetapi usaha ini amat penting ketika kita melihat terlalu banyak retorik, demonstrasi kuasa serta ancaman untuk menggunakan senjata nuklear.
“Terdapat banyak negara yang menyatakan minat untuk berusaha bersama memecahkan kebuntuan yang membelenggu isu ini selama bertahun-tahun,” tegas Menteri Luar Sweden, Margot Wallstrom di PBB minggu lepas.
Menurut Pengarah Kempen Antarabangsa Menghapuskan Senjata Nuklear, Beatrice Fihn, tiada kemajuan yang dicapai mengenai pelucutan senjata nuklear sejak beberapa tahun lalu walaupun kuasa-kuasa nuklear utama menyatakan komitmen mereka ke arah usaha itu di bawah Persetujuan Ketakcambahan Nuklear (NPT) 1968. – AFP
27 Mac 2017 - 18:18
News ID: 820342
Lebih 100 buah negara akan memulakan rundingan pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membabitkan pengharaman senjata nuklear global hari ini walaupun menerima tentangan beberapa negara kuasa nuklear dunia.